Wednesday, August 26, 2009

Wuduk Penghapus Dosa Kecil

WUDUK ialah satu cara pengabdian kepada Allah dengan membasuh anggota tertentu menurut cara ditetapkan syarak. Menurut ijmak ulama, solat tanpa wuduk tidak akan diterima manakala penilaian daripada kelebihan berwuduk, ia menghapuskan dosa kecil.

Sewajarnya umat Islam hendaklah berwuduk seperti sifat wuduk ditetapkan syarak di samping menyempurnakan anggota wuduk yang wajib dan menjaga perbuatan sunat serta perkara dituntut ketika berwuduk.

Buku Wuduk dan Solat Menurut Sunnah dan Mazhab Syafie tulisan Abu Ruwais Al-Syubrawi membincangkan mengenai sifat wuduk, kelebihannya serta fardu wuduk mengikut Mazhab Syafie berpandukan al-Quran dan sunnah.

Bagaimanapun sebelum itu, buku ini membicarakan mengenai taklid menyentuh sikap sesetengah pihak terlalu taasub terhadap imam mazhab secara melampau sedangkan mereka juga menjadikan sunnah yang sahih sebagai pegangan utama.
Sebahagian pengikut mazhab yang fanatik menolak bulat-bulat pendapat mazhab lain seolah-olah mazhabnya yang betul sedangkan dalam beberapa perkara turut merujuk mazhab lain atas alasan darurat.

Salafussoleh bersepakat wajib berpegang dan kembali kepada al-Quran dan sunnah yang sahih serta meninggalkan setiap pendapat menyalahi kedua-duanya walaupun diutarakan oleh pakar, ulama, tokoh ilmuwan atau sarjana.

Perbincangan mengenai taklid dikemukakan Abu Ruwais Al-Syubrawi dalam bukunya Wuduk dan Solat Menurut Sunnah dan Mazhab Syafie sebagai panduan memahami perkara berkaitan solat merujuk kepada Mazhab Syafie.

Imam Abu Abdullah Khuwaz Mandad berkata: “Taklid menurut pengertian syarak ialah kembali menyandarkan perbuatan kepada perkataan yang tidak ada hujah bagi orang yang menyatakannya serta tiada dalil (berhubung dengan) apa yang dikatakan itu, malah orang yang berkata tidak mampu membawa dalil.”

Hakikatnya, banyak perbezaan pendapat dalam memahami hadis Rasulullah SAW seperti menguatkan bacaan ‘Bismillah’ ketika solat. Sebahagian sahabat menguatkannya manakala sebahagian lain pula memperlahankan.

Namun kedua-dua pendapat ini sahih kerana ia pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan kerana itu ulama mengharuskan kedua-dua perbuatan itu.

Imam mujtahid melarang bertaklid kepada mereka kerana bimbang apa yang diijtihadkan itu menyalahi hadis Rasulullah SAW yang sahih sebaliknya memerintahkan pengikut berpegang kepada hadis jika ijtihad mereka menyanggahi sunnah Rasulullah SAW.

Perlu diingat semua imam saling menghormati pendapat satu sama lain dan tidak pernah menyalahkan pendapat imam lain. Imam Syafie sendiri mewasiatkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal supaya menceritakan kepadanya setiap hadis sahih ditemui.

Berdasarkan penjelasan penulis, tidak dinafikan ramai di kalangan pengikut Mazhab Syafie tidak tahu cara menunaikan solat mengikut mazhabnya kerana ada mengangkat tangan melebihi kepala dan ada meletakkan tangan di tepi rusuk serta pelbagai lagi.

Justeru, berpeganglah pada al-Quran dan sunnah yang sahih kerana Imam Syafie sendiri mewajibkan pengikutnya mengambil dalil yang sahih serta mengkaji ilmu agama bukan hanya menerima tanpa penelitian.

Selain membincangkan berkaitan wuduk dan solat, buku ini juga memuatkan isu mengenai bersugi, tayamum, menyapu khuf, mandi wajib serta bersuci yang perlu diketahui sebagai persediaan menunaikan solat.

Turut dibincangkan kesilapan perkara membezakan solat lelaki dan wanita, cara membuat saf, hadis daif melarang kanak-kanak ke masjid, pengertian makmum dan perbuatan perlu dijaga ketika mengikut imam.

Template by:
Free Blog Templates